Dalam update kali ani, ingin rasanya aku kan share mengenai dengan khutbah jumaat yang telah dibacakan pada minggu lepas semasa sembahyang jumaat di masjid-masjid. Tajuk khutbah ialah PERKAHWINAN ....
Mmmmm tajuk yang menarik bukan? :p
Apa-apapun ... semoga kita beroleh menafaat mengenainya ...
*****
Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Yaasin ayat 36, tafsirnya:
"Maha Suci Allah yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan, samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka atau pun pun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya".
Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala menjadikan setiap makhluk itu berpasang-pasangan dan ia merupakan antara nikmat anugerah Allah Subhanahu Wataala yang sangat besar kepada makhluk-makhluknya. Kita manusia telah dijadikan hidup berpasang-pasangan itu akan dikuatkan lagi melalui ikatan yang sah iaitu pernikahan atau perkahwinan.
Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan ia mempunyai banyak hikmah, antaranya untuk menjaga kehormatan diri dan dapat hidup berbahagia, saling berkasih sayang dan cinta-mencintai.
Memandangkan pernikahan adalah suatu yang digalakkan dan dituntut dalam islam, maka adalah sesuai pernikahan itu dilakukan ditempat yang mulia seperti dimasjid kerana dengan yang demikian diharapkan pernikahan tersebut akan sentiasa mendapat berkat dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wataala. Oleh itu, adalah elok suatu pernikahan itu dilakukan dimasjid sesuai dengan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
"Dari Aisyah Radiallahu Anha bahawa dari berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Kamu umumkanlah pernikahan ini dan buatlah dimasjid..." (Riawayat Al-Imam At-Tirmizi)
Dalam kita mengadakan majlis akad nikah dimasjid ini, hendaklah kita menjaga adab-adab ketika berada dimasjid. Antara adab-adab tersebut ialah hendaklah berpakaian yang menutup aurat, pakaian yang elok dan bersesuaian seperti tidak ketat dan tidak jarang, tidak bercakap tentang perkara-perkara dunia yang tidak berfaedah serta tidak membuat bising sehingga menimbulkan ketidak selesaan kepada orang lain. Manakala jika bakal pengantin perempuan atau jemputan perempuan dalam keadaan haid, junub atau nifas adalah haram hukumnya memasuki masjid. Selain daripada itu ketika kita berada dimasjid adalah sunat bagi kita mengerjakan sembahyang sunat tahyatul masjid, berniat iktikaf, membaca doa ketika masuk dan keluar masjid.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam kita mengadakan majlis perkahwinan hendaklah majlis itu mengikut hukum syarak. Antaranya perbelanjaan perkahwinan itu biarlah sederhana dan tidak membebankan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis:
"Dari Aisyah Radiallahu Anha bahawa dia berkata, bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda sesungguhnya keberkatan yang paling besar dalam perkahwinan ialah yang paling ringan perbelanjaannya". (Riwayat Imam Ahmad)
Oleh itu perkahwinan yang sebaiknya ialah yang ringan perbelanjaannya, tidak memberatkan, tidak bermewah-mewahan dan tidak memberatkan, tidak bermewah-mewahan dan tidak pembaziran kerana itu bertentangan dengan hukum syarak.
Dalam mengadakan majlis perkahwinan adalah lebih terbaik jika tidak berhutang. Namun tidak dinafikan terdapat sebilangan orang yang terpaksa berhutang untuk majlis perkahwinan kerana tidak mempunyai kewangan yang mencukupi samada membuat pinjaman dari bank atau meminjam dari kaum keluarga. Namun janganlah berhutang itu sehingga menyukarkannya untuk membayar balik hutang tersebut yang akhirnya hanya akan membebankan hidupnya dikemudian hari nanti. Oleh itu sudah sewajarnya majlis perkahwinan yang hendak dibuat itu biarlah secara sederhana dan mengikut kemampuan sahaja, tidak perlu membebankan diri dengan memenuhi semua majlis adat istiadat� perkahwinan yang diwarisi.
Adapun mengadakan jamuan dalam majlis perkahwinan hukumnya adalah sunat. Bagi orang yang mampu, sekurang-kurangnya ialah dengan seekor kambing. Manakala bagi orang yang tidak mampu pula cukuplah dengan yang terdaya sekalipun hanya dengan menyajikan minuman.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagaimana lazimnya, pihak keluarga pengantin akan menjemput sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai untuk sama-sama memeriahkan majlis kenduri yang diadakan. Dalam hal ini, adalah wajib bagi orang yang telah diundang itu hadir kemajlis tersebut sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
"Dari Abdullah Bin Umar Radiallahu Anhuma, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Apabila kamu diundang menghadiri walimah (perkahwinan), maka hendaklah kamu datang".
Walaubagaimanapun kewajipan memenuhi undangan tersebut juga bergantung kepada syarat-syarat yang tertentu, antaranya orang yang dijemput tidak mempunyai keuzuran yang akan menghalangnya dari menghadiri undangan tersebut dan tidak ada jemputan lain yang mendahului jemputan orang yang menjemput itu. Selain dari itu hendaklah ditempat majlis itu tidak ada sesuatu perkara yang mungkar seperti disediakan minuman arak, menagdakan majlis tari menari, alunan dari alat-alat atau bunyi-bunyian yang haram dan sebagainya. Jika didapati majlis tersebut mengadakan ajaran yang mungkar, maka gugurlah kewajipan untuk menghadiri majlis tersebut.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Mengadakan majlis perkahwinan adalah bagi melahirkan kesyukuran dan kegembiraan terhadap pasangan yang mendirikan rumahtangga, dan majlis kegembiraan ini diraikan bersama-sama kaum kerabat, sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai.
Namun sebagai umat islam kita hendaklah tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak semasa mengadakan majlis perkahwinan itu. Ini kerana majlis yang diadakan adalah untuk mengharapkan keberkatan dan doa restu dari sanak saudara kita, maka adalah mustahak majlis tersebut tidak dicampuradukkan dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama seperti mengadakan acara hiburan.
Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga niat ikhlas dan ketaatan kita dalam mematuhi hukum-hukum syarak akan mendapat ganjaran pahala dan semoga majlis yang diadakan mendapat limpahan berkat dan rahmat dari Allah Subhanahu Wataala. Amin Yarrabal Alamin.
Surah Az-Zariyat ayat 49, tafsinya:
"Dan tiap-tiap jenis kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati kekuasaan kami dan mentauhidkan kami".
******
Koleksi Khutbah Jumaat boleh didapati di sini : http://www.religious-affairs.gov.bn/


























