google28d19bd85b072b60.html AKU DAN BLOGGER.com: KELEBIHAN BULAN MUHARRAM YANG PENUH BERKAT/ HARI ASYURA (10 MUHARAM)

Rabu, Disember 15, 2010

KELEBIHAN BULAN MUHARRAM YANG PENUH BERKAT/ HARI ASYURA (10 MUHARAM)

MUHARRAM adalah bulan pertama dalam sistem kalendar Islam (Hijriah) yang juga turut dikenali sebagai Awal Muharam. Perkara yang paling penting di dalamnya adalah mengingatkan umat Islam kepada peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dari Mekah ke Madinah. Muharam bukan sekadar bulan bagi permulaan tahun dalam kalendar Islam, sebaliknya termasuk dalam kumpulan empat bulan paling diberkati dan dimuliakan Allah Subhanahu Wata’ala. Firman Allah dalam Surah At Taubah ayat 36 bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia mencipta langit dan bumi, diantaranya empat bulan yang dihormati (iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab)".

Yang dimaksudkan bulan yang dihormati dalam segala aspek iaitu bulan yang mengikut riwayat sahih ialah Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Bukan bermakna bulan lain tidak dihormati, tetapi keberkatan Allah turun pada empat bulan itu.

Muharam membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu Allah melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Bulan itu penuh dengan peristiwa dalam sejarah tamadun Islam. Selama 30 hari itu penuh dengan pelbagai keistimewaan. Teristimewa adalah 10 hari pertama. Banyak peristiwa berlaku sejak zaman berzaman dalam sejarah Muharam yang dikenali dengan nama Asyura. Beberapa perkara penting berlaku pada bulan Muharam mengikut pandangan cendekiawan ilmu dalam, termasuk bulan ini Allah mencipta Syurga dan bumi, menyelamatkan Nabi daripada kezaliman musuh dan mencipta Nabi Adam.

Pada Hari Asyura iaitu pada hari 10 Muharam pula bahtera Nabi Nuh diselamatkan di Gunung Judi, Nabi Ibrahim daripada api Namrud dan Nabi Musa daripada Fir’aun dengan Hari Kiamat.

Asyura adalah hari paling mulia di dalam Muharam sebagaimana sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. “Apabila Nabi Berhijrah Ke Madinah, orang Yahudi di Madinah berpuasa pada 10 Muharam dan mereka mengatakan pada hari itulah Nabi Musa diselamatkan daripada kezaliman Fir’aun. Nabi Musa diselamatkan bersama sahabat Baginda, tetapi Fir’aun dan askarnya lemas dalam sungai. Itu sebabnya kami berpuasa pada Hari Asyura. Apabila Baginda mendengar penjelasan mereka, Baginda kemudian dengan bangga bahawa kami paling berhak dan paling dekat kepada Nabi Musa lebih daripada kamu sekalian dalam semua aspek. Maka Rasulullah menyuruh umat Islam berpuasa pada Hari Asyura.’ (Hadis riwayat Abu Daud).

Amalan sunat pada bulan Muharam.

Antara yang disunatkan pada bulan Muharam :

*Berpuasa : Maksud hadis "Barangsiapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun.” “Barangsiapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama dua tahun".

*Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.

* Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak tiga kali.

* Berdoa awal tahun pada 1 Muharam selepas Maghrib tiga kali.

Perkara-perkara sunat dilakukan pada Hari Asyura (10 Muharam).

* Puasa Sunat Hari Asyura. Allah menjanjikan pahala laksana seribu kali haji, seribu umrah, seribu syahid dan diharamkan daripada Neraka.

* Menjamu orang berbuka puasa. Allah memberi pahala, seperti memberi sekalian umat Islam berbuka puasa.

* Sembahyang sunat empat rakaat. Niatnya "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Ta’ala". Pada rakaat pertama dan kedua selepas Faatihah, baca Surah Al Ikhlash sebelas kali. Allah akan mengampunkan dosanya, walaupun berlarutan 50 tahun melakukannya.

* Membaca Surah Al Ikhlash seribu kali. Allah akan memandangnya dengan pandangan rahmat di akhirat.

* Mandi sunat. Niatnya "Sahaja aku mandi sunat Asyura kerana Allah Ta’ala". Allah memberi kesihatan yang baik dan tidak sakit tenat mata pada tahun itu.

* Memelihara kehormatan diri. Allah mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

* Bersedekah. Allah menjauhkannya daripada Neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tidak terhenti-henti hingga ia mati dan diberi pahala seperti bersedekah kepada fakir miskin di dunia ini.

* Menahan marah. Allah memasukkannya ke dalam golongan orang yang reda.

* Melapangkan belanja anak isteri. Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun itu.

* Memuliakan fakir miskin. Allah memuliakannya dalam kubur.

* Membaca Surah Al-Infithaar. Jika seseorang yang ditimpa musibah seperti demam membacanya ketika mandi, Insya-Allah akan sembuh.


sumber diperolehi dari www.pelitabrunei.gov.bn

Tiada ulasan:

Pages